Tiada Siapa Mahu Uruskan Wanita Tua Ini Kerana Berbau Najis
Klang – Sebaik sahaja pintu pondok usang itu dibuka, rongga hidung mula dipenuhi bau najis yang memenuhi kediaman pasangan warga emas yang kelihatan tidak terurus.
Klang – Sebaik sahaja pintu pondok usang itu dibuka, rongga hidung mula dipenuhi bau najis yang memenuhi kediaman pasangan warga emas yang kelihatan tidak terurus.
“Bang..oo..bang,” panggil wanita tua itu yang menyangka suaminya telah pulang.
Lebih menyayat hati apabila wanita tua yang dikenali sebagai Samini Subryono mengikut sijil nikahnya, tidak mengetahui suaminya Ahmad Jumadi sudah seminggu meninggal dunia.
Wanita berusia 76 tahun itu kelihatan sangat uzur, tidak mampu bergerak dan matanya rabun kronik menyukarkan untuk mengecam tetamu yang datang.
Menurut Timbalan Presiden Skuad Kasih Malaysia, Khairul Khuzaini Zamsani, dia telah menemui makcik tersebut pada Jumaat lalu selepas berjumpa dengan seorang pengusaha kolam pancing yang mengatakan ada seorang makcik terbiar menumpang di rumahnya.
“Saya ikut dan saya lihat makcik itu dalam keadaan yang sangat menyedihkan dipenuhi najis dan sebagainya.
“Saya menelefon pasukan saya dan esoknya kami hadir, mandikan makcik itu dan bersihkan kawasannya.
“Kita telah hubungi pihak-pihak yang berkaitan memohon untuk membantu makcik ini, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu sendiri,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post di sini.
Kata Khairul, tiada ada sesiapa yang sanggup untuk menguruskan wanita itu kerana masalah bau najis tetapi tuan tanah tetap memberi makan dan menjaganya juga.
“Makcik ini juga diberi makan dalam keadaan ala kadar dan tidak ada yang hendak uruskan kerana masalah bau najis, tiada siapa yang sanggup,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat kesukaran daripada pihak tertentu untuk menguruskan warga emas itu kerana dia tidak mempunyai dokumen peribadi.
Menurut Khairul, hari ini pihaknya telah membuat keputusan untuk menghantar wanita tersebut ke sebuah Pusat Penjagaan Warga Emas Insyirah di Bangi.
Jelasnya, ia bagi memudahkan pihaknya menyelenggara kerana masing-masing mempunyai komitmen lain.
“Kita ada hubungan dengan Lembaga Zakat Selangor dan mereka telah datang untuk buat tinjauan untuk salurkan sumbangan mana yang perlu.
“Belum ada sebarang keputusan setakat ini tetapi mereka akan bawa perkara ini ke ibu pejabat untuk diputuskan,” katanya.
Sementara itu, kata Khairul, jenazah suami wanita itu masih lagi berada di Hospital Ampuan Rahimah Klang dan tidak dapat dikebumikan meskipun sudah tujuh hari meninggal dunia disebabkan tidak mempunyai identiti pengenalan diri yang sah.
“Suami makcik sudah meninggal dan pihak hospital tidak membenarkan jenazah itu dibawa keluar sehingga hari ini kecuali mempunyai dokumen atau ada waris menuntut.
“Kita sedia maklum waris tiada di sini, mereka hanya tinggal berdua,” ujarnya.
p/s..tak tahu lah apa cerita makcik ni sekarang.
0 comments:
Post a Comment