Thursday, 15 October 2015

Filled Under:

[MESTI BACA] Enam sekeluarga maut dalam kemalangan



Enam sekeluarga maut selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas sebelum terperosok ke bawah sebuah treler yang berhenti di lorong kecemasan di Kilometer 258.8, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing, di sini tengah hari semalam.
Mereka yang maut dikenali sebagai pemandu kereta Azaman Ramli, 49, isterinya Noor Akmal Mohd Zain, 48, Noor Amira Syahirah Alias, 22, Aliff Hateem Azaman, 16, Aliff Hakim Azaman, 12 dan Aqeel Muslim Abdullah, 3 tahun.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Said Ibrahim semalam berkata kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan anggota badan selepas tersepit di dalam kenderaan itu.
Katanya kejadian jam 12.30 tengah hari itu berlaku semasa hujan lebat dan keadaan jalan agak licin.
Ketika kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan sebelum kenderaan jenis Toyota Camry itu dipercayai hilang kawalan, katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan tersebut berpusing sebelum bahagian belakang kereta itu terperosok di bawah lori treler berkenaan yang berhenti di lorong kecemasan,” katanya.
Semasa kejadian, pemandu lori treler yang berusia 35 tahun itu dipercayai sedang tidur di dalam kenderaan itu dan tidak menyedari tentang kemalangan itusehingga diberitahu oleh pengguna jalan raya yang lain.
Bagaimanapun, Mohd Said berkata pemandu lori yang berasal dari Kelantan itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya kesemua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat dan mempunyai maklumat berhubung nahas itu tampil ke balai polis Kemaman bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Penguasa Kanan Bomba II Azmi Abdul Rahim Ibrahim, berkata anggota bomba mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan kesemua mangsa yang tersepit di dalam kenderaan.
“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati hampir keseluruhan bahagian kereta itu terperosok di bawah treler berkenaan,” katanya.
Katanya, seramai 25 anggota dengan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh serta Gambang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan kejadian jam 12.36 tengah hari. — Bernama
KELUARGA MAUT: Enam sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori treler di Kilometer 258.8, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) di Kemaman, semalam. — Gambar Bernama
KELUARGA MAUT: Enam sekeluarga maut dalam kemalangan melibatkan sebuah kereta dan lori treler di Kilometer 258.8, Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) di Kemaman, semalam. — Gambar Bernama






0 comments:

Post a Comment