TANAH
MERAH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan
memberi penjelasan terperinci berhubung isu 1Malaysia Development Bhd
(1MDB) dan dana politik sebanyak RM2.6 bilion kepada anggota Umno dalam
masa terdekat.
Naib
Presiden Umno itu berkata, langkah itu bagi memastikan setiap anggota
parti tidak terpengaruh dengan berita-berita yang tidak betul yang
disalurkan melalui sosial media.
"Akar
umbi (Umno) jika tidak diberi penjelasan akan terpengaruh dengan
gelombang dan badai yang melanda media sosial yang mengambil alih
komunikasi tanpa lisan yang berlaku sekarang," katanya kepada pemberita
selepas merasmikan
sambutan Aidilfitri dan mesyuarat Perwakilan Umnoo Bahagian Tanah Merah di sini, hari ini.
Beliau
turut mendakwa terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab
yang akan cuba mengambil kesempatan dengan menyebarkan fitnah di laman
sosial.
"Dulu
fitnah politik berlaku melalui surat layang, penerbitan buku-buku
tetapi kini trend telah berubah di mana fitnah disebarkan secara
'on-line' dalam waktu yang singkat," katanya.
Ahmad
Zahid berkata, oleh kerana agenda yang telah dirancang segelintir pihak
tidak bertanggungjawab itu, fitnah yang disebarkan melalui laman sosial
itu sukar dibendung kerana tiada pembentengan yang kukuh oleh Umno itu
sendiri.
"Dalam
hal ini, apa yang berlaku jangan dianggap krisis tetapi suatu kemelut
yang datang dalam hayat politik, dan saya menyeru kepimpinan Umno di
peringkat nasional, bahagian dan akar umbi untuk bersama dengan
kepimpinan bagi menyelesaikan permasalahan yang sama-sama kita hadapi
itu.
"Kita
tahu bahawa siapa yang faham, siapa yang tidak faham, siapa yang
memanipulasi isu berkenaan. Saya tidak berhajat untuk menuding jari
kepada individu atau sesuatu kumpulan...bagi saya isu boleh
diperjelaskan dengan secara telus," katanya.
Turut
hadir Pengerusi Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan
timbalannya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub serta Ketua Umno Bahagian Tanah
Merah, Datuk Ikmal Hisham Ab Aziz.
Terdahulu,
dalam ucapannya, Ahmad Zahid mahu perpaduan dalam kalangan anggota Umno
terus kukuh dan tidak dipecahkan dari dalam oleh "segelintir pihak yang
tidak senang dengan saf kepimpinan semasa."
"Masalah
pembangunan, infrastruktur kita boleh cari peruntukan, tetapi penyatuan
pemikiran, hati nurani tiada harganya. Ia dapat digarap dan
dipertingkatkan jika ada perpaduan dalam kalangan kita," katanya.
Pada
majlis itu, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, turut
menyampaikan sumbangan RM200,000 kepada Kelab Polis Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Tanah Merah serta RM50,000 kepada Jabatan Sukarelawan
Malaysia (Rela) Tanah Merah bagi membeli pakaian seragam baharu.
Selain
itu, beliau turut menyerahkan pinjaman sebanyak RM3 juta kepada 252
usahawan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun Nasional).
Majlis
sambutan Aidilfitri itu telah ditangguhkan selama sejam selepas hujan
lebat dan ribut melanda jajahan ini bermula pukul 3.30 petang tadi. -
Bernama
H2M9363
0 comments:
Post a Comment