Chongqing (China): Seorang remaja berusia 16 tahun gagal membunuh diri dengan terjun dari jambatan di Sungai Yangtze setinggi 55 meter semalam sebaliknya mengalami lebam dan patah tulang.
Saksi dikenali sebagai Zhong berkata, dia memandu melintas jambatan itu apabila melihat gadis berkenaan yang duduk di sisi jambatan.
Katanya, remaja itu nampak susah hati menyebabkannya risau lalu cuba menghulurkan bantuan kerana bimbang gadis itu mahu membunuh diri.
Seorang penunggang motosikal bernama Liu juga berhenti bertujuan mahu memujuk gadis itu.
Namun, tidak sempat mereka menghubungi polis, gadis itu terus menjadi emosi dan terjun dari jambatan. Orang ramai yang mula berhimpun di situ terkejut apabila dia tidak mati dan terus menariknya keluar sebelum ambulans sampai.
Gadis itu mengalami lebam teruk pada belakangnya manakala paru-paru dipenuhi air selain patah tulang dan cedera tisu lembut.
Doktor yang merawatnya berkata, gadis itu bernasib baik kerana hentakan pertama terkena pada tulang pinggul tanpa mengenai organ.
“Mujur bukan kepalanya yang terkena air dulu. Memandangkan ketinggian jambatan itu lebih 50 meter hentakan pada air sama seperti terhentak simen.
“Jika kepalanya yang terkena dulu pasti dia maut,” katanya.
Menurut sumber tidak sahih, gadis berkenaan bertindak membunuh diri kerana kecewa selepas teman lelaki memutus hubungan mereka - Hmetro
0 comments:
Post a Comment