Johor Bahru: Pemandu wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu hingga mengakibatkan kematian lapan remaja berbasikal di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Tertuduh, Sam Ke Ting, 21, yang bekerja sebagai jurujual didakwa memandu kereta bernombor pendaftaran JQB9984 secara melulu dan berbahaya hingga mengakibatkan kematian pada 3.20 pagi 18 Februari 2017 di Jalan Lingkaran Dalam, di sini.
Dia didakwa menyebabkan kematian Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM5,000 hingga RM20,000 selain lesen memandu digantung sekiranya disabit kesalahan.
Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh juru bahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Salina Omar.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Johor, Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam bela, Faizal Bustaman dan Mokhtar Menon.
Tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.
Lesen memandu tertuduh digantung hingga perbicaraan kes selesai selain tertuduh diperintah menyerah pasport kepada mahkamah.
Salina juga menetapkan 13 April depan sebagai tarikh pengurusan kes terbabit.
0 comments:
Post a Comment