Wednesday 29 July 2015

Filled Under:

[MESTI BACA] Beginilah suasana Hari Pertama Tan Sri Muhyiddin selepas dilucutkan jawatan TPM


Hari Tan Sri Muhyiddin bermula seperti hari-hari kebiasaannya.

Sebagai Menteri Pendidikan, beliau dijemput merasmikan pembukaan sekolah swasta, Sekolah Global Matrix, yang terletak di Bandar Sri Sendayan, Seremban.

Di sebalik laporan beliau berkemungkinan digugurkan daripada rombakan Kabinet, Timbalan Presiden UMNO itu muncul tanpa rasa gentar, ketika bercakap kepada hadirin di majlis berkenaan.

Ucapan Muhyiddin menyentuh kepentingan sistem pendidikan negara mendapat sokongan ramai, termasuk Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad menyuarakan sokongan terhadap kepimpinan Muhyiddin dalam memartabatkan bidang pendidikan negara.

"Saya percaya kepimpinan beliau (Muhyiddin) dalam Kementerian Pendidikan, membolehkan martabat sistem pendidikan negara ditingkatkan," kata Mohamad.

Di majlis itu, khabar angin mengenai penyingkiran Muhyiddin terus tersebar kalangan wartawan yang membuat liputan, hingga menyebabkan pegawainya mendedahkan tiada yang muktamad berkenaan khabar angin tersebut.

Ketika itu, wartawan yang bertugas membuat liputan menyedari mereka perlu mendapatkan reaksi Muhyiddin, namun beliau hanya melemparkan senyuman ketika ditanya soalan bertalu-talu.

Dari situ, sesuatu mula dihidu wartawan.

Jemputan mengenai sidang media di Pejabat Perdana Menteri mula tersebar.

Selebihnya, ia menjadi sejarah.

Muhyiddin disingkirkan daripada Kabinet dan tempatnya digantikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sebaik pengumuman oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kumpulan media mula memburu Muhyiddin, namun cubaan itu gagal kerana lokasi beliau tidak diketahui.

Adalah sesuatu yang biasa, bagi Muhyiddin kembali ke kediamannya di Bukit Damansara, dan terus jadi tumpuan kumpulan media yang berkampung untuk mendapatkan reaksinya.

Suasana suram melewati kediaman Muhyiddin ketika puluhan rakan dan keluarga terdekat hadir memberi sokongan kepada bekas penyandang jawatan nombor dua di Malaysia itu.

Tetamu yang meninggalkan kediaman Muhyiddin bagaimanapun memberi ungkapan yang sama ketika media cuba mendapatkan reaksi mereka.

"Muhyiddin sedang meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan rakan rapat."

Malah Naib Presiden UMNO Datuk Seri Shafie Apdal (yang turut digugurkan daripada Kabinet) dan Ketua UMNO Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee yang melawat Muhyiddin, mengeluarkan kenyataan yang cukup berhati-hati ketika menjawab soalan daripada kumpulan media.

"Sila rujuk kenyataan awal saya," kata Shafie, sambil menambah tiada apa pun yang menjadi kebimbangannya kerana beliau berjuang untuk kepentingan rakyat.

Sebelum peristiwa digugurkan Kabinet, kedua-dua Muhyiddin dan Shafie menyuarakan kebimbangan mereka berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Kenyataan-kenyataan ini menyebabkan tekanan terhadap kedua-dua mereka kerana dianggap menentang Perdana Menteri.

Sementara itu, salah seorang pegawai Muhyiddin mengakui, beliau sudah merasakan ada sesuatu bakal menimpa selepas kenyataan terbuka Muhyiddin dilaporkan media.

"Ini sudah tentu bukan kejutan sama sekali," kata pegawai Muhyiddin.

Muhyiddin dijangka terus jadi tumpuan, dengan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO dijadualkan minggu ini.

Persoalannya, adakah beliau akan kekal jadi Timbalan Presiden?

Sekiranya tidak, apa reaksi Muhyiddin?

Adakah beliau akan digantung, atau senario lebih buruk? Digugurkan keahlian?

Semuanya bergantung kepada keputusan mesyuarat.

Kita selaku pemerhati hanya boleh membuat telahan.

Apa pun, tiada yang pasti dalam politik.




0 comments:

Post a Comment