Seniwati veteran, Momo Latif atau nama sebenarnya, Momo Makarim, 92, yang terkenal melalui filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ telah menghebuskan nafas terakhirnya di rumahnya di Woodlands, Singapura, pada jam 5.50 petang tadi.
Momo meninggal dunia di sisi 10 anak dan cucunya.
Menurut anaknya Kamaliah Latif, selepas dirawat di hospital, Rabu lalu, keadaan ibunya semakin kritikal apabila doktor mengesahkan pembuluh darah ke otaknya pecah.
“Selepas mendapat penjelasan doktor, kami adik-beradik sepakat membawa ibu pulang ke rumah.
“Saya bersyukur kerana pada saat akhir hayatnya, semua 10 anak dan cucu ada di sisi ibu,” katanya sebak.
Difahamkan, Momo akan disembahyangkan di Masjid Ahmad Ibrahim sebelum dikebumikan di Pusara Abadi, You Chu Kang, selepas solat Jumaat esok.
Rabu lalu, Momo dikejarkan ke Hospital Khoo Tec Phuat di Yishun Central kerana rebah di rumahnya selepas mengerjakan solat Maghrib.
Momo yang juga anak jati Singapura memulakan karier dalam bidang lakonan melalui filem Toping Saitan dan Hou Yao Wan & Hoi Ling pada tahun 1941.
Selain filem ‘Pendekar Bujang Lapok’ di mana Momo melakonkan watak ibu kepada Ani yang juga isteri kepada Pak Mustar, Momo turut berlakon bersama Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem ‘Musang Berjanggut’.
Momo juga berlakon bersama pengarah Mat Sentul dalam filem ‘Mat Toyol’, ‘Mat Karung Guni’, ‘Mat Tenggek’ dan banyak lagi.
Selain berlakon, Momo juga terkenal sebagai penyanyi pada era 1930-an hingga 1970-an. Ketika itu, lagu dendangan Momo sering diputarkan di radio Malaysia dan Singapura. Antara lagu nyanyian Momo adalah Tudung Periuk, Tak Jemu Menunggu, Jangan Main Mata dan dua lagu duet bersama P Ramlee iaitu Merpati Dua Sejoli dan Semenjak Berpisah.
Takziah kami ucapkan buat keluarga Allahyarham dan semoga rohnya ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman.
0 comments:
Post a Comment