Kuala Lumpur: “Saya anggap ini sumbangan
amal jariah saya kepada orang lain. Jika jual lebih daripada 10 sen
sebiji, saya tidak boleh tidur malam apabila memikirkan mengapa perlu
saya ambil untung berlebihan, ” kata Muhammad Waliuddin Chua, 24, yang
kisahnya menjual donat dengan harga 10 sen sebiji tersebar di laman
sosial Facebook (FB).
Muhammad Waliuddin yang memeluk Islam pada 2011 berkata, idea menjual
donat dengan harga semurah itu tercetus selepas melihat kesukaran orang
ramai memilih kuih kegemaran akibat faktor harga.
"Hasil pemerhatian saya ketika membeli kuih, orang ramai sukar membuat
pilihan apabila terpaksa mengambil kira harga setiap jenis kuih yang
ingin dibeli.
"Justeru, saya mahu mereka menikmati kuih tanpa terlalu memikirkan harga," katanya.
Muhammad Waliuddin yang ditemui di rumahnya di Flat Taman Maluri,
Cheras, di sini, hanya memperoleh untung RM40 untuk 1,000 biji donat
yang terjual, walaupun dia boleh menjual dengan harga lebih daripada 10
sen untuk sebiji donat dijualnya.
Anak muda yang memiliki diploma dalam bidang penerbangan itu sepatutnya
menyambung pengajiannya ke peringkat lebih tinggi pada September 2013.
Bagaimanapun, dia gagal mendapat pinjaman pendidikan menyebabkan impiannya menyambung pengajian hanya tinggal angan-angan.
Menurutnya, dia mula menjual donat 10 sen itu sejak Jumaat lalu dan
sejak ia tersebar di laman sosial, permintaannya amat menggalakkan.
Pada hari ini saja, dia menerima tempahan 1,500 biji donut selepas bermula hanya dengan 100 biji pada hari pertama.
Dengan peralatan yang terhad termasuk terpaksa meminjam kuali untuk
menggoreng, dia dibantu rakan serumahnya untuk menyiapkan tempahan
berkenaan.
Bagaimanapun, ada segelintir pihak yang mula mengambil kesempatan di
atas kemulian hatinya itu apabila membeli donatnya dan menjual kembali
dengan harga yang lebih mahal.
"Saya tidak bersetuju jika ada pihak yang mahu menjual donat saya dengan harga lebih mahal.
"Idea asal ialah pengguna menikmati kuih itu dengan harga 10 sen dan
saya akan pastikan pembeli menikmati donat dengan harga terbabit,"
katanya.
Selain donat 10 sen dihasilkan semakin laris, kesan ‘viral’ menyebabkan
dirinya juga laris selepas ada wanita mempelawanya berkahwin atau
menjadi teman wanita, malah ada ibu bapa yang mahu menjadikannya sebagai
menantu mereka.
"Saya terkejut kerana menerima permintaan untuk berkawan di laman sosial
sehingga mencapai had selepas kisah saya ‘viral’ di FB. Ada yang
menyuarakan hasrat untuk menjadi pasangan saya.
"Bagaimanapun, saya belum berfikir ke arah itu kerana perlu fokus kepada perniagaan ini," katanya
Dalam pada itu, hasil inisiatif Harian Metro, Biro Pekerja Muda di bawah Exco Pemuda UMNO Malaysia menghulurkan bantuan.
Menerusi Pengerusinya, Dazma Shah Daud, biro itu menyampaikan sumbangan peralatan memasak kepada Muhammad Waliuddin.
"Peralatan berkenaan ialah bantuan segera untuk memudahkan pemuda itu
menyiapkan tempahan dan kami sedang berusaha untuk memberi bantuan lain
termasuk kewangan.
"Usaha anak muda ini perlu dicontohi kerana dia antara golongan yang
mencari jalan penyelesaian ketika berdepan kenaikan kos sara hidup,"
katanya ketika melawat Muhammad Waliuddin di rumahnya tengah hari tadi.
Sementara itu, seorang pelanggan, L Thilashiny,24, yang juga jirannya
berkata, dia mengetahui mengenai donat 10 sen itu melalui FB dan mahu
merasai sendiri keenakannya.
"Kakak saya mengesyorkan saya mencuba sendiri donat murah ini. Saya beli
RM2 dan saya akan bawa ke pejabat untuk makan bersama-sama rakan kerana
sukar untuk mendapatkan makanan dengan harga semurah ini," katanya.
0 comments:
Post a Comment