SIBU: Seorang suri rumah yang mengandung tiga bulan dipercayai dipaksa ibu mentuanya merendam tangan kanannya ke dalam air panas yang sedang mendidih di dalam periuk demi menegakkan kebenaran bahawa dia tidak curang.
Dalam kejadian pada jam 7.30 malam Jumaat lalu di sebuah rumah sewa di Jalan Lanang di sini, mangsa yang dikenali sebagai Azreenna, 21, dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain oleh adik iparnya yang berumur 13 tahun.
Sumber berkata, ibu mentua mangsa yang terkejut selepas mendengar berita itu bertindak memanggil mangsa ke dapur untuk menuntut penjelasan.
“Namun demikian, ibu mentua mangsa tetap enggan mempercayai penafiannya, walaupun dia telah berkali-kali menafikan sebarang hubungan dengan lelaki lain,” katanya.
Ibu mentua mangsa yang berumur lewat 40-an itu kemudiannya dipercayai memaksa menantunya bersumpah dengan merendam tangan kanannya ke dalam air panas yang sedang mendidih di dalam periuk sebagai bukti dia tidak berbohong atas tuduhan berkenaan.
Suami mangsa yang dikenali sebagai Ogos, 19, cuba menghalang namun gagal memujuk ibunya.
“Mangsa yang tidak mempunyai pilihan, terpaksa merendam tangan kanannya ke dalam air panas selama beberapa saat sambil meraung kesakitan,” kata sumber itu lagi.
Mangsa yang mana tangan kanannya melecur teruk kemudiannya dikejarkan oleh suaminya dan seorang rakan ke Poliklinik Jalan Lanang sekitar jam 9 malam, namun dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, mangsa dan suaminya yang telah berkahwin lebih setahun lalu terus pulang ke rumah saudara mereka di Jalan Aman selepas insiden tersebut.
Bapa saudara mangsa yang dimaklumkan mengenai insiden tersebut telah menasihatkan mangsa dan suaminya agar membuat laporan polis terhadap ibu mentua mangsa kerana melakukan perbuatan tidak berperikemanusiaan sehingga menyebabkan tangannya melecur teruk.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan laporan itu dan siasatan dijalankan. -Theborneopost
0 comments:
Post a Comment