Saturday 1 August 2015

Filled Under:

[WAJIB TAHU] Ramai Wanita Yang Tidak Sah Solatnya. Kenapa???

Di antara perkara yang menjadikan sahnya solat seseorang itu adalah dengan menutup aurat. Ini disebut sebagai syarat sah solat. Bagi wanita, batas aurat mereka ialah seluruh badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan (belakang dan perut tangan).
Dalilnya adalah sabda Rasulullah ﷺ:
لَا يَقْبَلُ اللَّهُ صَلَاةَ حَائِضٍ إِلَّا بِخِمَارٍ

"Allah tidak menerima solat wanita yang sudah haid tanpa memakai khimar." (HR Abu Dawud, Ibn Majah, Ibn Hibban & Ahmad)

Apakah batas wajah?
والوجه ما بين منابت شعر الرأس إلى الذقن ومنتهى اللحيين طولا ومن الاذن إلى الاذن عرضا
 “Wajah ialah apa yang ada di antara tempat tumbuh rambut (anak rambut) kepala hingga ke dagu dan hujung kedua-dua rahang (tulang rahang) mengikut panjangnya, manakala lebarnya pula dari telinga hingga ke telinga yang satu lagi (anak telinga)”

Dapat difahami daripada ta'rif wajah di atas, bahawa dagu termasuk batas wajah yang boleh didedahkan ketika solat. Manakala bawah dagu pula, ia tidak termasuk batas wajah, maka ia termasuk aurat yang wajib ditutup ketika solat.

Apabila bahagian bawah dagu terbuka atau terdedah ketika solat maka batallah solatnya kecuali apabila ditutup dengan segera. Tidak kira sama ada terdedah itu kecil atau besar, banyak atau sikit iainya tetap memudharatkan solat.

Justeru disarankan agar apabila seseorang wanita menutup aurat, dilebihkan sehingga ke dagu atau lebih agar lebih sempurna. 


Batalkah Solat Walaupun Terdedah Sedikit?

1. Mazhab Syafi'e: terbuka aurat walaupun sedikit tetap memberi kesan kepada sah atau batalnya solat.

2. Mazhab Hanafi:  terbuka aurat tidak melebihi satu perempat (1/4) bahagian tubuh. Jika lebih batal.

3. Mazhab Hanbali: terbuka aurat jika hanya sedikit tidak membatalkan solat.

4. Mazhab Maliki: terbuka aurat besar (muhgallazah) membatalkan solat. 

Jika Seseorang Itu Tidak Tahu Adakah Dimaafkan?

Syeikh Ismail bin Zein dalam fatwanya mengenai masalah ini menyatakan bahawa apabila perkara ini dilakukan oleh wanita-wanita awam (orang awam) yang tidak tahu bertaqlid (mengikuti) mana-mana mazhab, maka solatnya dihukum SAH. Hal ini kerana orang awam seperti ini tidak memiliki madzhab (buta mazhab).

Kesimpulan.

Wanita yang terdedah bawah dagunya, dihukumkan batal solatnya sebagaimana yang dipegang dalam mazhab Syafi'e. Pun begitu, penulis bersetuju dan berpegang kepada fatwa Syeikh Ismail Zein bahawa bagi orang awam yang tidak mengetahui hal ehwal mazhab atau buta mazhab, maka solat mereka masih dihukumkan sah.

Namun perlu diingatkan, mereka perlu segera belajar cara solat yang betul termasuklah berkaitan tatacara menutup aurat yang betul mengikuti Islam serta mempelajari ilmu-ilmu yang berkaitan dengan ibadat atau fardhu 'ain.

Wallahu A'lam. 




Rujukan.
1. Al-Majmu', 1/371.
2. Al-Majmu', 3/166-167.
3. Qurrotul A'in Bi Fatawi Isma'il Bin Az-Zein, 52-53.




0 comments:

Post a Comment