Kuala Lumpur: Sebilangan waris penumpang dan anak kapal pesawat Malaysia
Airlines (MAS) Penerbangan MH17 dan MH370 mengucapkan takziah kepada
keluarga mangsa nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501.
Wan Aini Wan Hussin, 61, kakak juruterbang pesawat MH17, Kapten Wan
Amran Wan Hussin, berkata dia sedih sebaik mendengar berita nahas itu
dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi kenyataan.
“Bila mendengar berita itu, perasaan saya seolah-olah seperti ketika mendengar berita tragedi MH17.
“Memang sedih sebab kita pernah rasa kehilangan seperti itu...saya harap
semua ahli keluarga (mangsa QZ8501) banyak bersabar,” katanya ketika
dihubungi.
Mohd Zaki Md Salim, 38, abang kepada penumpang MH17, Mohd Ali, berkata
dia juga dapat merasai kesedihan yang dialami keluarga mangsa QZ8501.
“Saya pernah berada dalam situasi yang sama dan saya simpati kepada
mereka...tiada yang dapat saya katakan selain bersabar dan terima dugaan
dengan tabah,” kata Mohd Zaki.
Sementara itu, Selamat Omar, 60, bapa kepada penumpang MH370, Mohd
Khairul Azmi, berkata dia turut bersedih dengan kejadian itu dan
berharap mereka tabah menghadapi dugaan walaupun berita itu pahit untuk
ditelan.
Katanya, walaupun mereka kehilangan insan tersayang namun
sekurang-kurangnya QZ8501 dapat ditemui berbanding MH370 yang masih
hilang.
“Pada dasarnya mereka masih bernasib baik sebab pesawat itu dapat
ditemui tidak seperti MH370 yang sudah berlarutan hampir 10 bulan tetapi
tiada khabar berita untuk kami sekeluarga,” kata Selamat.
Maira Elizabeth Nari anak kepada kru MH370, Andrew Nari, melalui akaun
twitternya turut menyampaikan ucapan takziah kepada waris penumpang dan
anak kapal QZ8501.
“My deepest condolence to the family of QZ8501 crews and passengers. I
have no idea what other words that can comfort you, but stay strong,”
kata Maira.
Turut berkongsi kesedihan ialah Intan Maizura Othman, 34, isteri kepada anak kapal MH370, Mohd Hazrin Hasnan.
“Dear all, pray pray and pray...sorry for your lost,” katanya dalam catatan di laman Twitternya. - Bernama
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20185#sthash.QyyPiUnM.dpuf
0 comments:
Post a Comment