gambar hiasan sahaja - Google image |
Rina sedang menyiapkan makan malam ketika aku tiba di rumah. Aku
memegang tangannya dan berkata, “ Abang ada sesuatu nak beritahu”. Dia
membisu dan dapat ku lihat keresahan di matanya.
Tiba-tiba lidahku kelu. Tapi aku nekad untuk memberitahunya. “Abang rasa kita sudah tidak serasi lagi. Kita cerai?”. Akhirnya, terlepas jua beban di dada. Tapi ku lihat Rina tenang dan dia hanya bertanya dengan lembut. “Mengapa bang? Apa salah saya?”.
Giliran aku membisu dan ini menimbulkan kemarahan Rina. Air matanya mula
menitis. Aku tahu dia mahukan jawapan tapi aku tiada jawapannya. Yang
ku tahu, hatiku kini milik Tasya. Cintaku bukan pada Rina lagi.
Aku katakanya padanya yang dia boleh ambil rumah dan kereta apabila kami
bercerai. Rina merenung wajahku. Pandangannya kosong. 10 tahun kami
berkahwin tetapi malam ni kami umpama orang asing. Aku kasihankannya
tetapi untuk berpatah balik tidak sesekali. Aku cintakan Tasya. Air
matanya yang sekian tadi bertakung mula mengalir deras. Sudah ku jangka.
Malah aku lega melihatnya menangis. Niatku untuk bercerai semakin jelas
dan nyata.
Keesokannya, Rina mengatakan dia tidak mahu apa-apa dari penceraian kami
melainkan tempoh 1 bulan. Dia meminta bahawa dalam satu bulan itu kami
teruskan rutin harian kami seperti biasa sebagai suami isteri.
Alasannya, anak kami bakal menduduki peperiksaan dalam masa sebulan lagi
dan dia tidak mahu anak kami terganggu dengan penceraian kami. Aku
bersetuju.
Kemudian Rina menyuruhku mengingat kembali saat aku mendukungnya ke bilik kami pada malam pertama kami. Dia meminta untuk tempoh sebulan ini, aku mendukungnya keluar dari bilik tidur kami ke pintu depan setiap pagi. Pada ku memang tidak masuk akal. Tetapi aku tetap bersetuju.
Aku memberitahu Tasya permintaan Rina. Dia ketawa dan hanya mengatakan
ini semua kerja gila. Tidak kira apa muslihat Rina, dia tetap akan
diceraikan. Aku hanya diam membatu.
Semenjak aku menimbulkan isu penceraian, kemesraan kami terus hilang.
Hari pertama aku mendukungnya keluar, aku merasa kekok. Rina juga. Anak
kami bertepuk tangan di belakang sambil ketawa dan berkata, “Ayah dukung
ibu ya”. Kata-katanya amat menyentuh hatiku. Mata Rina bergenang dan
dengan lembut dia memberitahuku agar jangan sampai anak kami tahu yang
kami akan bercerai. Aku mengangguk setuju. Aku menurunkannya di muka
pintu. Dan kami memandu berasingan ke tempat kerja.
Masuk hari kedua, hilang sedikit rasa kekok. Rina bersandar di dadaku.
Dapat ku cium harumannya. Dapat ku lihat kedutan halus di wajahnya Aku
sedar dia tidak muda lagi seperti dahulu. Ternyata perkahwinan kami
memberi kesan kepadanya. Selama satu minit, aku tertanya-tanya apa yang
telah aku lakukan.
Masuk hari keempat, aku dapat rasakan keintiman kami telah kembali.
Tanpa sedar hatiku berkocak mengatakan mungkinkan cintaku masih padanya.
Hari kelima dan keenam, aku menyedari keintiman kami mula bercambah
kembali. Aku tidak memberitahu Tasya tentang perkara ini. Masuk
hari-hari seterusnya, rutin ini jadi lebih mudah malah aku nantikannya
setiap pagi.
Suatu pagi, Rina sedang memilih baju untuk dipakai. Katanya tiada yang
sesuai. Dia mengeluh. “Semua baju saya besar”. Baru ku sedar, dia
semakin kurus. Mungkin itu jugalah sebabnya aku semakin mudah
mendukungnya. Tiba-tiba terlintas di fikiranku. Mungkin Rina sedang
menyembunyikan keperitan hatinya lantaran sikapku selama ini. Tanda
sedar aku merangkul tubuhnya dan membelai rambutnya.
Kemudian, muncul anak kami di muka pintu sambil berkata “ Ayah, cepat lah dukung ibu keluar”. Padanya, melihat aku mendukung keluar isteriku setiap pagi adalah rutin hariannya. Rina memanggil anak kami lalu memeluknya erat. Ku palingkan mukaku kerana takut aku sndiri mengubah fikiran di saat ini. Aku kemudian mendukungnya dan tangannya melingkari leherku. Tanpa sedar, ku eratkan rangkulanku. Dapat ku rasakan badannya sangat ringan.
Hari ini genap sebulan. Di muka pintu aku menggenggam tangannya dan
berkata “ Abang tidak sedar yang selama ini kita kurang keintiman”. Aku
terus melangkah ke kereta dan terus memandu ke pejabat. Sesampainya di
pejabat, aku terus ke bilik Tasya. Sebaik pintu terbuka, aku masuk dan
aku beritahu dia “Maaf Tasya. Saya tidak akan bercerai dengan Rina.
Sekarang saya sedar saya masih cintakan dia”.
Muka Tasya berubah merah. Tapi ku kata jua,“Maaf Tasya. Saya dan Rina
tidak akan bercerai. Perkahwinan kami membosankan mungkin kerana saya
tidak menghargai apa yang kami ada dan kongsi selama ini, bukan kerana
kami tidak lagi menyintai satu sama lain”. Tasya menjerit sekuat hati
dan aku terus melangkah keluar.
Aku kembali ke kereta dan niat hatiku mahu pulang ke rumah dan memohon
maaf dari Rina, isteriku. Aku singgah di sebuah kedai bunga untuk
membeli sejambak tulip merah kesukaan Rina. Aku capai sekeping kad dan
ku tulis, “Abang akan dukung Rina setiap pagi hingga maut memisahkan
kita”.
Setibanya di rumah, aku terus berlari ke bilik kami dan mendapati Rina
terbaring tenang di atas katil. Ku belai wajahnya sambil memanggil
namanya tapi tiada sahutan. Rina kaku. Hatiku berdetak keras.
Kini Rina pergi untuk selamanya. Perpisahan yang ku pinta ternyata
ditunaikan. Sekian lama Rina berperang dengan KANSER RAHIM tetapi aku
begitu sibuk dengan Tasya untuk menyedarinya. Rina tahu bahawa dia akan
mati tidak lama lagi dan dia mahu menyelamatkan aku daripada reaksi
negatif dari anak kami, sekiranya kami tetap bercerai. Rina mahu
sekurang-kurangnya di mata anak kami, aku adalah suami yang penyayang.
Perkara-perkara mudah dan ringkas yang anda lakukan bersama adalah
yang sebenarnya penting dalam perkahwinan. Bukan banglo, kereta, harta,
dan wang di bank. Semua itu hanya wujudkan persekitaran yang kondusif
untuk kebahagiaan tetapi tidak dapat memberi kebahagiaan pada kita.
Jadi carilah masa untuk menjadi sahabat kepada isteri/suami anda
dan lakukan perkara-perkara kecil untuk satu sama lain yang membina
keintiman. Binalah kemanisan rumah tangga anda. Hargailah setiap
pengorbanan pasangan anda.
SHARE jika artikel ini bermanfaat
0 comments:
Post a Comment