Saturday, 15 August 2015
Filled Under:
[MESTI BACA] Muhyiddin tanya Najib, mana baki RM2.6 bilion
Posted By:
Unknown
on 23:37
Mana baki RM2.6 bilion, Muhyiddin tanya Najib
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa perdana menteri menjelaskan mengenai baki dari wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun bank peribadinya selepas ia dikatakan sudah ditutup pada 2013 lalu.
Bekas timbalan perdana menteri itu berkata, jumlah wang yang dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Razak tersebut besar dan jika ia masih berbaki, beliau harus memaklumkan di mana wang tersebut kini disimpan.
“Apakah berbaki wang itu semasa ia ditutup? Kerana, jumlahnya itu besar. Kalau jumlahnya besar, pasti ia berbaki.
“Kalau masih berbaki, ke manakah wang itu?” soal Muhyiddin ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Terengganu petang ini.
Muhyiddin berkata beliau tidak dapat menjawab mengenai soal wang tersebut, sebaliknya menggesa Najib yang juga menteri kewangan supaya menjelaskannya.
“Berapa banyak yang diterima? Berapa banyak wang digunakan untuk pilihan raya? Saya mana tahu. Saya tidak dapat.
“Saya rasa mungkin presiden Umno dapat menjawabnya,” katanya merujuk kepada Najib.
Kontroversi tercetus selepas The Wall Street Journal membuat pendedahan berkenaan wang RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib bagi kegunaan kempen pilihan raya pada 2013 lalu.
Najib tidak menafikan pada awalnya tetapi memberi amaran ke atas akhbar luar negara tersebut akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka.
Susulan daripada pendedahan tersebut, sebuah pasukan khas terdiri daripada pihak polis, Bank Negara Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditubuhkan bagi menyiasat tuduhan itu.
Baru-baru ini, pihak SPRM mengumumkan wang tersebut adalah derma politik kepada Najib tetapi tidak menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai sumber wang tersebut.
Beberapa ahli Kabinet Najib sebelum ini berkata, tidak salah wang disalurkan ke dalam akaun peribadinya kerana beliau mempunyai kapasiti menjadi pemegang amanah bagi Umno.
Malah, Muhyiddin sebelum ini dalam sebuah video yang dibocorkan juga pernah mempersoalkan Najib mengenai kontroversi dana tersebut dan menuntut penjelasannya.
Sumber: Malaysian Insider
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment